Subsidi: Kedudukan kewangan kerajaan semakin berisiko

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan subsidi yang semakin besar boleh mencetus risiko kepada kewangan negara sehingga menyebabkan peruntukan untuk perbelanjaan yang lebih penting terpaksa dikurangkan pada masa akan datang.

Jumlah subsidi yang terlalu tinggi juga boleh menjejaskan penetapan sasaran defisit fiskal kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada enam peratus untuk tahun ini.

Sehubungan itu, penganalisis ekonomi menggesa supaya kerajaan memperkenalkan segera kaedah dan langkah baharu bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan subsidi yang dianggarkan sebanyak RM77.3 bilion tahun ini.

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, memandangkan subsidi adalah sebahagian daripada perbelanjaan mengurus, ia perlu dibiayai sama ada melalui kutipan hasil yang lebih tinggi atau pengurangan dalam komponen perbelanjaan lain.

Katanya, bagi pengumpulan hasil, harga komoditi yang tinggi dan prestasi ekonomi domestik yang teguh berkemungkinan menghasilkan kutipan cukai yang lebih tinggi daripada yang dianggarkan.

“Namun, untuk mengimbangi baki perbelanjaan subsidi, komponen perbelanjaan fiskal lain berkemungkinan akan mengalami pengurangan, termasuk bekalan dan perkhidmatan kerajaan, geran atau emolumen,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Subsidi kepenggunaan berkenaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Lee Fang bagaimanapun berkata, rancangan kerajaan untuk menaikkan subsidi bagi menampung kos sara hidup akan dilihat secara positif dan boleh meningkatkan sentimen pasaran dalam jangka masa pendek.

Beliau berkata, keputusan itu akan membantu mengekalkan kuasa beli pengguna dan mengurangkan tekanan kos operasi untuk separuh kedua ini.

“Langkah pemberian subsidi berskala besar ini juga adalah isyarat awal pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari turut berkongsi pandangan sama bahawa pemberian subsidi yang besar berpotensi memberi impak kepada kewangan negara.

Beliau berkata, pengurusan ekonomi sejak dua tahun lalu bagi mengimbangi kesan pandemik COVID-19 menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukan perbelanjaan yang tinggi dengan kadar hutang turut meningkat.

Justeru, katanya, kerajaan disarankan untuk melaksanakan langkah penjimatan bagi mengelakkan beban kewangan yang lebih besar kepada generasi akan datang.

“Salah satu kaedah penjimatan adalah melalui rasionalisasi subsidi kerana dari perspektif ekonomi, subsidi yang bersifat menyeluruh adalah satu bentuk gangguan kepada ekonomi memandangkan sektor-sektor ekonomi beroperasi di bawah paras kecekapan sebenar,” katanya.

Mohd Yusof berkata, subsidi bersasar perlu dilaksanakan ke atas ekonomi bagi menyokong sektor tertentu serta menyokong kebajikan isi rumah yang berpendapatan rendah.

“Subsidi bersasar adalah bagi mengurangkan gangguan kepada ekonomi dan dalam masa yang sama bagi memastikan hanya yang layak sahaja mendapat bantuan. Selain meningkatkan kecekapan ekonomi, subsidi bersasar dapat mengurangkan tekanan fiskal kepada kerajaan.

“Sebahagian penjimatan daripada subsidi bersasar dapat digunakan untuk pembangunan sektor lain yang dapat memberi manfaat jangka panjang,” katanya.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata subsidi yang besar bakal memberi tekanan kepada kewangan kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu memperuntukan belanjawan besar bagi memulihkan ekonomi melalui polisi fiskal mengembang sejak 2020, sehingga mendorong untuk pinjaman tambahan bagi mencapai hasrat dan objektif Bajet 2022 yang telah diluluskan.

“Sekiranya subsidi tidak diperbetulkan berdasarkan situasi ekonomi semasa, ia akan memberi kesan berpanjangan kerana kadar inflasi sekarang bergantung kepada kawalan harga barang utama, dengan bahan api adalah antara komponen utama.

“Lebih lama subsidi dikekalkan, maka selagi itu pasaran tidak menunjukkan kadar inflasi yang sebenar. Tidak dinafikan sekiranya tiadanya subsidi maka harga barang akan naik mendadak kepada nilai sebenar.

“Namun, kerajaan boleh menggunakan langkah lain seperti memastikan wang untuk subsidi disalurkan kepada rakyat dengan cara yang lebih tepat dan berkesan,” katanya.

Runto Marketing Sdn Bhd

Business Registration No. (1311081-P)

KPKT Registration No. (WL7227/10/01-2/310523)

No. 8-1, Jalan Cemerlang 1A,

Pusat Perdagangan Banting,

42700 Banting, Selangor.