KUALA LUMPUR: Perbelanjaan penduduk Islam global berjumlah AS$2 trilion (RM8.8 trilion) pada 2021 dan ia diunjurkan meningkat kepada AS$2.8 trilion (RM12.3 trilion) pada 2024, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), memetik State of the Global Islamic Economy Report 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Frankfurt, Zuhaila Sedek, berkata Malaysia dan Jerman boleh bekerjasama dalam meneroka potensi industri ini menerusi inovasi dan pengurusan rantaian bekalan.

“Di Jerman, (industri) halal dilihat sebagai cadangan nilai yang mempunyai banyak persamaan dengan produk organik dan vegan, dan mampu memenuhi permintaan antara 5.3 dan 5.6 juta Muslim di negara itu,” katanya dalam webinar ‘Halal sebagai Pemangkin Inovasi dan Kemampanan bagi Pengilang’ pada 17 Jun.

Katanya, industri halal adalah industri berbilion-bilion dan dinamik dengan kumpulan pengguna yang mempunyai kuasa beli yang kukuh.

Webinar itu dianjurkan dengan sokongan IHK Hannover (Dewan Perniagan Hannover) dan disertai oleh lebih daripada 45 wakil perniagaan.

Selain Zuhaila, penceramah lain ialah Prof Ir Dr Yus Aniza Yusof dari Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Katharina Riehn dari German Agricultural Society dan Pengurus Kanan Kerjasama Antarabangsa Halal Development Corp Bhd, Romzi Sulaiman.

Peserta Jerman telah dipelawa untuk menghadiri pameran perdagangan halal terbesar dunia, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022, dari 7 hingga 10 September 2022 di Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Runto Marketing Sdn Bhd

Business Registration No. (1311081-P)

KPKT Registration No. (WL7227/10/01-2/310523)

No. 8-1, Jalan Cemerlang 1A,

Pusat Perdagangan Banting,

42700 Banting, Selangor.