Bank-bank Malaysia akan mengembangkan pinjaman sebanyak 6.0 peratus pada 2022 berbanding pertumbuhan pinjaman 4.5 peratus pada 2021, kata S&P Global Ratings.


Penganalisis Kreditnya, Nancy Duan, berkata secara khusus, perbelanjaan modal yang lebih tinggi, pasaran minyak dan gas yang berkembang pesat dan kos pembiayaan yang kompetitif bagi pinjaman bank di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran modal akan memulihkan semula permintaan pinjaman dalam kalangan korporat besar.


“Ia akan mengambil masa lebih lama untuk pinjaman pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pulih berikutan keyakinan pengguna yang masih rapuh, tekanan besar yang dialami PKS sepanjang pandemik COVID-19, inflasi yang lebih tinggi dan keterhutangan isi rumah yang sudah meningkat,” katanya. katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Duan berkata bank Malaysia akan menghadapi lebih banyak tekanan menurun ke atas pendapatan faedah bersih (NIM) pada separuh pertama 2022 apabila kos pembiayaan mereka mula meningkat dan persaingan deposit semakin sengit.


Bagaimanapun, beliau mengunjurkan NIM boleh menjadi stabil pada separuh kedua kerana Bank Negara Malaysia kemungkinan menaikkan kadar dasar semalamannya sebanyak 25 mata asas menjelang Jun, yang bermakna bank tempatan akan mendapat manfaat daripada hasil pinjaman yang agak meningkat.


Duan seterusnya meramalkan kos kredit sektor perbankan tempatan tidak akan kembali normal ke tahap pra-COVID dalam masa terdekat, tidak seperti rakan setaranya di Singapura.


Sementara itu, beliau turut menyatakan keuntungan 2021 yang melantun semula tidak memberikan gambaran sepenuhnya bagi bank-bank Malaysia, dan pemulihan pinjaman yang tidak sekata di bawah moratorium akan terus membebankan tahun ini.

“Kami berkemungkinan besar menyemak semula unjuran kos kredit sektor 2022 kami daripada 55 hingga 60 mata asas semasa jika pemulihan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan peralihan kepada fasa endemik berjalan seperti yang dirancang.”


Duan berkata sekurang-kurangnya dua pemacu lantunan keuntungan tahun lepas mungkin kekal iaitu kos kredit yang lebih rendah (ukuran peruntukan) dan mempercepatkan pertumbuhan pinjaman.


“Namun begitu, peningkatan margin pada tahun lalu berkemungkinan sudah berlalu buat masa ini. Dan NPL boleh meningkat kepada 2.5 peratus-3.0 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang selepas pelbagai program moratorium tamat menjelang pertengahan 2022, seperti yang dirancang. Itu berbanding dengan nisbah 1.4 peratus NPL pada 2021.


“Peminjam daripada kalangan PKS dan isi rumah berpendapatan rendah adalah segmen yang paling terdedah di bawah skim bantuan pinjaman yang ditawarkan oleh bank Malaysia. Pemberi pinjaman yang mempunyai pendedahan pinjaman yang lebih besar kepada PKS dan perbankan pengguna pasaran besar akan ketinggalan dalam pemulihan berbanding mereka yang mempunyai pengkhususan yang lebih mantap dalam segmen runcit kekayaan dan korporat besar.


“Kami menganggarkan kredit kepada PKS dan isi rumah berpendapatan rendah menguasai kira-kira 30 peratus hingga 35 peratus daripada buku pinjaman seluruh industri,” tambahnya.


Selain itu, beliau berkata program bantuan kerajaan berjumlah RM40 bilion yang diumumkan baru-baru ini yang khusus menyasarkan mikro, PKS dan sektor tidak formal akan membantu memudahkan pemulihan perniagaan yang sangat diperlukan untuk perniagaan kecil. Namun, ini tidak mungkin menghalang trend kredit asas yang semakin lemah bagi peminjam berkenaan.


Dalam pada itu, Duan menyatakan peruntukan tinggi sektor ini bagi pinjaman tidak terjejas iaitu sekitar 1.3 peratus pada akhir 2021 adalah positif untuk kos kredit. Ini berbanding dengan peruntukan rendah 0.8 peratus sebelum COVID-19.

Runto Marketing Sdn Bhd

Business Registration No. (1311081-P)

KPKT Registration No. (WL7227/10/01-2/310523)

No. 8-1, Jalan Cemerlang 1A,

Pusat Perdagangan Banting,

42700 Banting, Selangor.